BBM3410Satu2019: Etika Penulisan Blog

Assalamualaikum semua. Ini merupakan entri ketiga untuk tugasan subjek Multimedia kami. Haa, kali ini saya nak kongsikan etika penulisan blog. Eh tulis blog pun ada etika ke? Haa jangan terkejut etika yang dimaksudkan tidaklah membuatkan entri blog anda seperti satu penulisan yang rasmi. Etika ini jika diamalkan dapat membantu kalian untuk menjadikan blog sebagai medium penyampaian informasi dengan cara yang mudah difahami. 

Menurut Normaliza Abd Rahim (2014) dalam buku yang berjudul Eh! Media Sosial telah menggariskan 10 cara menulis blog dengan baik iaitu pemilihan tajuk yang santai yang dapat menarik perhatian pembaca. Misalnya, anda ingin menulis tentang bagaimana cara untuk membeli tiket ETS secara atas talian. Pilihan tajuk seperti cara membeli tiket ETS secara talian agak klise. Jadi cuba tukarkan tajuk itu menjadi lebih santai seperti ini, pembelian Tiket ETS sekarang ini hanya klik sahaja!.  Baiklah, cara yang kedua ialah perkongsian cerita menarik yang dapat membuatkan mata pembaca untuk tidak sabar membaca cerita kita. Sebagai penulis blog, seharusnya berkongsikan coretan yang sesuai dengan kelompok pembaca blog anda. Misalnya, penggemar blog anda terdiri daripada wanita. Jadi, bolehlah berkongsi cerita tentang resepi masakan dan tips mengemas rumah misalnya. Seterusnya, cara ketiga iaitu selitkan ayat- ayat unsur jenaka untuk membuatkan coretan anda lebih hidup. Misalnya, anda menulis resepi anda berkenaan masakan udang sambal petai. Untuk lebih santai, mungkin boleh selitkan seperti ini, petai ini jika nak masukkan dalam sambal terus boleh juga, kalau nak rebus dahulu petai untuk hilangkan bau pun boleh. Ikut selera masing-masing, tapi bila sendawa bau petai juga takkanlah bau aiskrim vanila 😂 (hihihi sekali sekala buat lawak hambar apa salahnya). Cara menulis blog keempat pula ialah pastikan ada hujah terbaik untuk menghuraikan penulisan anda. Hujah terbaik ini bermaksud anda cuba mengeluarkan pengisian yang berilmiah untuk menyokong tindak tanduk dalam coretan anda. Contoh seperti resepi udang sambal petai itu tadi. Lazimnya kita akan menyatakan ayat "tumiskan sambal sehingga masak ataupun pecah minyak." Bagi mereka yang tidak tahu, mesti tertanya perlukah pecah minyak itu, tidakkah membuatkan sambal lebih berminyak?. Jadi, penulis buat sedikit tips disitu, pecah minyak ini membuatkan sambal membuatkan sambal betul-betul masak dan agar tidak mudah sakit perut kerana pedasnya. Ok kita teruskan dengan cara kelima menulis blog iaitu kaitkan penulisan dan perkongsian anda dengan berita. Misalnya, berkenaan pembelian tiket ETS atas talian itu, terdahulu boleh membeli menerusi agen seperti Easybook. Maka, selaku penulis haruslah tahu akan isu semasa bahwa Easybook tidak lagi menjadi agen penjual tiket ETS atas talian. Penulis bolehlah sertakan pautan ke laman web KTM untuk memudahkan urusan pembaca. 

Penulisan menggunakan perkataan yang mudah difahami dan struktur ayat yang ringkas pula merupakan cara keenam menulis blog. Penulisan blog cukuplah sekadar menggunakan ayat berbentuk penyata dan tidak perlulah meleret dalam satu ayat. Penggunaan perkataan pula haruslah perkataan yang pembaca boleh faham tanpa merujuk kamus. Seterusnya, cara ketujuh ialah dapat dibaca dan difahami oleh sasaran umur pembaca. Misalnya, dalam blog berkongsikan tentang lokasi makanan menarik di Selangor. Penulis haruslah meletakkan lokasi yang tepat supaya setiap lapisan umur yang membaca perkongsian mudah untuk memahami arah ke lokasi tersebut. Yang kelapan, dapat berkomunikasi dengan pembaca. Sebagai penulis blog, dapat berkomunikasi dengan pembaca ini boleh dibuat dengan pelbagai cara. Contohnya, membalas komentar mereka pada ruangan komen. Saya pula berinteraksi dengan pembaca dengan cara berkongsikan pautan blogspot saya ke media sosial. Daripada situ, saya dapat mengetahui respons mereka terhadap penulisan saya. Cara menulis blog yang kesembilan ialah kemukakan moral dan nilai estetika dalam penulisan anda. Hal ini bermaksud, jikalau anda merujuk sumber tentang perkongsian itu, jadi sertakan sumbernya. Misalnya, gambar itu diambil daripada Facebook ataupun Instagram seseorang, anda wajiblah menberikan kredit kepada empunya gambar itu. Cara menulis blog yang terakhir ialah mempunyai pengetahuan dalam menulis penulisan pendidikan. Untuk cara ini, saya menjadikan entri blog saya sebagai contoh iaitu Apa itu Linguistik Melayu. Dalam enti tersebut saya tidak menulis sewenang-wenangnya. Saya berkongsi dan menulis berdasarkan apa yang telah saya pelajari sebagai bergelar gelar penuntut Linguistik Melayu UPM. 

Sekian coretan hari ini, harapnya dalam membantu kalian dalam menghasilkan penulisan yang santai tetapi mempunyai kandungan berguna untuk tatapan pembaca. 

Comments